![]() |
||
|
BALI, 2 Julai 2026 – Institut Kajian Perladangan (IKP) terus memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa melalui satu sesi perbincangan strategik bersama International Rubber Research and Development Board (IRRDB) bagi mempertingkatkan pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah dimeterai antara kedua-dua pihak pada tahun 2025. Perbincangan ini diadakan bersempena dengan program IRRDB Socio Economic Seminar 2026 yang berlangsung di Aryaduta Bali Hotel, Kuta, Indonesia pada 30 Jun – 2 Julai 2026. Delegasi IKP diketuai oleh Pengarah IKP, Prof. Ts. Dr. Siti Khairunniza Bejo, manakala pihak IRRDB diwakili oleh Timbalan Setiausaha Agung, Dr. Wan Abdul Rahaman Wan Yaacob. Turut serta dalam perbincangan ini adalah Timbalan Pengarah IKP, Prof. Dr. Wong Mui Yun. Pertemuan tersebut menjadi platform penting untuk menilai kemajuan kerjasama sedia ada serta merancang inisiatif baharu yang mampu memberi impak lebih besar kepada pembangunan industri getah di peringkat global. Sejak termeterainya MoU pada tahun 2025, IKP dan IRRDB telah melaksanakan pelbagai aktiviti kolaboratif yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi. Antara pencapaian utama termasuk perkongsian kepakaran melalui seminar antarabangsa, penglibatan dalam program pembangunan ilmu serta kerjasama dalam penyediaan permohonan geran penyelidikan yang memfokuskan kepada pembangunan dan kemampanan industri getah.
|
||
![]() |
![]() |
|
|
Dalam perbincangan tersebut, kedua-dua pihak turut meneliti beberapa cadangan aktiviti susulan bagi memperluaskan manfaat kerjasama yang terjalin. Antaranya ialah penganjuran webinar bersama yang melibatkan penyelidik dan pakar industri dari pelbagai negara, pembangunan program Future Leaders bagi melahirkan generasi pelapis industri yang berdaya saing serta berpengetahuan tinggi, dan penerokaan model kerjasama yang lebih strategik dalam bidang penyelidikan, inovasi, pembangunan modal insan serta pemindahan teknologi. Kerjasama yang diperkukuh ini dilihat mampu menyumbang kepada pembangunan penyelesaian inovatif dan berimpak tinggi dalam industri getah, selaras dengan keperluan semasa serta cabaran global yang semakin kompleks. Di samping itu, ia juga dijangka membuka lebih banyak peluang jaringan penyelidikan antarabangsa, perkongsian sumber dan pembangunan kepakaran yang dapat memberi manfaat kepada komuniti penyelidikan serta pemain industri. Melalui komitmen yang berterusan daripada kedua-dua organisasi, IKP dan IRRDB optimis bahawa kerjasama strategik ini akan terus berkembang dan menjadi pemangkin kepada penghasilan inovasi, pembangunan bakat serta pengukuhan daya saing industri getah ke arah masa depan yang lebih mampan dan progresif. |
||
Tarikh Input: 06/07/2026 | Kemaskini: 06/07/2026 | ainzubaidah

PEJABAT PENTADBIRAN
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG