15 Disember- Institut Kajian Perladangan (IKP) telah menganjurkan taklimat secara atas talian bertajuk Pelan Tindakan Insiden IKP. Taklimat ini telah dihadiri oleh staf dan pelajar IKP bagi menggantikan latihan pengungsian bangunan yang sepatutnya diadakan pada setiap tahun secara fizikal. Objektif taklimat ini adalah untuk mewujudkan kesedaran kepada semua ahli IKP dalam menangani situasi insiden agar pelan tindakan insiden dan pengungsian bangunan dapat dijalankan secara efisien. Taklimat telah dipengerusikan oleh Pn. Norazlina Zulkefli, selaku Komander Insiden IKP. Para peserta diberi penerangan mengenai infografik IKP dan barisan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) IKP. Laluan kecemasan bagi bangunan IKP dan rumah hijau transgenik turut diterangkan bagi tujuan pengungsian bangunan.
IKP telah menjemput Prof. Madya Dr. Mohd Rafee Baharudin, Pengarah Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PPKKP), UPM untuk menyampaikan taklimat tentang Pelan Tindakan Insiden berdasarkan Piawaian Malaysia MS 2735:2021 'Emergency preparedness and response (EPR) - Guidelines in managing emergencies in facilities'). Beliau menekankan bahawa latihan pengungsian bangunan adalah untuk menguji sejauh mana kesediaan pasukan ERT-IKP termasuk peralatan dan sistem yang digunakan dalam menghadapi sesuatu insiden. Beliau turut mencadangkan agar IKP menyenaraikan beberapa bentuk insiden yang mungkin boleh berlaku di PTJ selain daripada kebakaran supaya pasukan ERT-IKP akan lebih responsif kepada sebarang kejadian yang tidak diingini sementara menunggu bantuan luar.
Tarikh Input: 23/12/2021 | Kemaskini: 27/12/2021 | ainzubaidah
PEJABAT PENTADBIRAN
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG