Aplikasi Teknologi LiDAR Dalam Pengurusan Ladang | INSTITUT KAJIAN PERLADANGAN (IKP)
» ARTIKEL » Aplikasi Teknologi LiDAR Dalam Pengurusan Ladang

Aplikasi Teknologi LiDAR Dalam Pengurusan Ladang

LiDAR (Light Detection and Ranging) ialah teknologi penderiaan jauh yang canggih dan kini sedang merevolusikan cara pengurusan ladang. Dengan kemampuannya menghasilkan data tiga dimensi yang sangat tepat, LiDAR memberikan gambaran terperinci tentang topografi dan tumbuh-tumbuhan. Teknologi ini berfungsi dengan menghantar pancaran laser ke permukaan bumi dan mengukur masa pantulan kembali. Hasilnya, model 3D yang terhasil membolehkan petani membuat keputusan yang lebih tepat dalam pertanian berasaskan data.

Bagaimana LiDAR Berfungsi 

Teknologi ini beroperasi dengan menghantar pancaran laser ke tanah dan mengukur masa yang diambil untuk pantulan cahaya kembali ke sensor. Terdapat dua jenis sistem LiDAR yang utama iaitu LiDAR Pulangan Diskret (Discrete Return LiDAR) yang menangkap titik-titik permukaan tertentu; dan LiDAR Gelombang Penuh (Full-Waveform LiDAR) yang merekodkan isyarat pantulan secara berterusan untuk analisis yang lebih terperinci. Manakala terdapat dua kaedah pengukuran utama digunakan iaitu  Time-of-Flight (ToF) dan Phase Shift Measurement (PMS). Kedua-duanya menghasilkan model topografi dan ketinggian yang sangat berguna dalam perancangan ladang moden.

 

Aplikasi Utama dalam Pengurusan Ladang

  1. Perataan Tanah dan Reka Bentuk Sistem Pengairan - Digital Model Elevation (DEM) daripada LiDAR membantu mengenal pasti perubahan ketinggian dan bentuk muka bumi. Ini membolehkan kerja perataan tanah dan perancangan pengairan dibuat dengan lebih tepat. Apabila digabungkan dengan teknologi GPS (Global Positioning System), ia memudahkan kerja meratakan tanah secara automatik dan cekap. Ini penting untuk memastikan pengagihan air yang sekata, mengurangkan hakisan, dan mencegah air bertakung. Ia juga menyokong reka bentuk sistem pengairan seperti pertanian kontur dan titisan.

     

    Gambar 1: Digital Elevation Models (DEM)

     

  2. Anggaran Biojisim Tanaman - LiDAR juga digunakan untuk menganggarkan biojisim tanaman dengan mengukur ketinggian tanaman, ketumpatan kanopi, dan indeks keluasan daun. Maklumat ini penting untuk menilai pertumbuhan tanaman, membantu dalam perancangan pembajaan dan kawalan perosak secara lebih berkesan. Gabungan teknologi LiDAR dengan pembelajaran mesin (machine learning) turut meningkatkan ketepatan dalam anggaran ini.

  3. Ramalan Hasil dan Pemantauan Kesihatan Tanaman - Dengan menganalisis struktur dan isipadu kanopi, LiDAR boleh membantu dalam meramalkan hasil tanaman serta memantau kesihatan tumbuhan. Sesetengah sistem canggih malah boleh mengesan kandungan nitrogen dan klorofil dalam daun, membolehkan pembajaan lebih tepat serta pengesanan awal terhadap kekurangan nutrien atau penyakit.

Potensi Masa Depan 

Gabungan teknologi LiDAR dengan kecerdasan buatan (AI) dan analisis data dijangka akan memperkukuh pemantauan ladang secara masa nyata dan pemodelan ramalan yang lebih tepat. Usaha masa depan turut menjurus kepada penurunan kos teknologi ini agar ia dapat dimanfaatkan oleh lebih ramai petani, termasuk golongan kecil dan sederhana.

Secara keseluruhan, LiDAR menjadi antara pemangkin utama dalam amalan pertanian pintar yang mampan. Ia bukan sahaja membantu meningkatkan hasil pengeluaran tetapi juga mengoptimumkan penggunaan sumber secara lestari dalam sektor pertanian. 

Gambar 2: Model 3D tanaman

 

 

Tarikh Input: 30/04/2025 | Kemaskini: 29/08/2025 | ainzubaidah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT KAJIAN PERLADANGAN (IKP)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1044
+603-9769 XXXX
W, (08:25:03pm-08:30:03pm, 03 Sep 2025)   [*LIVETIMESTAMP*]