Kesan Perubahan Iklim Pada Kelapa Sawit | INSTITUT KAJIAN PERLADANGAN (IKP)
» ARTIKEL » Kesan Perubahan Iklim pada Kelapa Sawit

Kesan Perubahan Iklim pada Kelapa Sawit

Oleh : Siti Nor Akmar Abdullah

 

Perubahan iklim yang menjejaskan corak hujan dan suhu bumi semakin bertambah teruk beberapa tahun kebelakangan ini. Tekanan abiotik yang disebabkan oleh perubahan iklim adalah faktor persekitaran utama yang merencat hasil kebanyakan tanaman. Pelbagai jenis tekanan abiotik seperti kemarau juga suhu dan kemasinan tinggi menyebabkan gangguan dalam status air yang memberi kesan buruk pada tumbuhan. Pengeluaran berlebihan spesies oksigen reaktif (ROS) yang sangat reaktif dan toksik di bawah pelbagai keadaan tekanan boleh memusnahkan protein, lipid, karbohidrat dan DNA dan mengganggu proses biokimia dalam tumbuhan yang akhirnya menghasilkan tekanan oksidatif.  

 

Produktiviti kelapa sawit terjejas dengan ketara oleh kesan perubahan iklim yang mengakibatkan  keadaan melampau sama ada memanjangkan tempoh kemarau (El Nino) atau banjir. Corak cuaca El Nino pada 2015 sehingga awal 2016 di Asia Tenggara menyebabkan kehilangan hasil yang tinggi kerana kesan buruk keatas proses pembiakan. Ini termasuklah kadar penghasilan bunga betina yang menurun dan pengurangan saiz dan berat tandan buah (FFB). FFB di Semenanjung Malaysia dan Sabah (di Malaysia Timur) menurun sebanyak kira-kira 20% disebabkan El Nino pada tahun 1997 hingga 1998 dengan itu hujan kurang daripada 100 mm selama lebih daripada dua bulan boleh memberi kesan yang besar kepada hasil. Tekanan abiotik boleh menjejaskan perkembangan buah dan kualiti pasca tuai buah kelapa sawit dan ini penting dari segi nilai ekonomi kepada industri.

 

Kelapa sawit yang ditanam di kawasan di mana kemarau berlaku selama dua hingga empat bulan, terdapat kemungkinan turun naik yang besar dalam hasil. Pengeluaran buah segar juga boleh dikurangkan dari 20% hingga 30% dalam kemarau berpanjangan manakala kombinasi kemerosotan air 50 mm dan kenaikan suhu 1 ° C mengurangkan pengeluaran pada purata 2.15 tan/ha/tahun yang menyumbang kira-kira 40% daripada purata hasil. Corak hujan juga boleh menjejaskan hasil kelapa sawit 6 hingga 7 bulan kemudian. Suhu purata bulanan kurang daripada 27.83 ° C selama 8 bulan sebelum menuai menyebabkan hasil yang rendah kurang daripada 1.25 tan/ha/bulan di seluruh Malaysia. Tekanan abiotik memicu isyarat jauh dan tempatan yang kemudian diselaraskan dan dimasukkan ke dalam keseluruhan proses tumbuhan supaya tumbuhan dapat bertindak balas dan bertahan. Tindakbalas tekanan abiotik melibatkan interaksi rentas dengan laluan isyarat tenaga di mana autofagi memainkan peranan penting. Autofagi memusnahkan sebatian tertentu yang penting untuk pertumbuhan yang cekap tetapi memerlukan input tenaga utama. Oleh itu, proses biologi yang melindungi tumbuh-tumbuhan dari keadaan tekanan dirangsang.

 

Tekanan abiotik dan simtom dalam kelapa sawit

 

Gabungan kekurangan air dan nutrisi

  Kurang kandungan air, klorofil, nitrogen dan fosforus dalam daun

Kemarau

   Hasil yang tidak menentu

Kurang cahaya matahari

   Kekurangan penghasilan bunga betina

Kemarau berpanjangan

   Kurang penghasilan tandan buah

Gabungan kekurangan air dan peningkatan suhu sebanyak  1°C

   Pengurangan purata hasil 2.15 tan/ha

Suhu rendah

    Hasil kurang dari 1.25 tan/ha/bulan

 

Tarikh Input: 05/10/2018 | Kemaskini: 08/10/2018 | ainzubaidah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT KAJIAN PERLADANGAN (IKP)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1044
+603-9769 4166
SXEUIAJ~