Kurangkan Bias Dalam Pengukuran Pelepasan CO₂ Dari Permukaan Tanah: Kajian Ladang Kelapa Sawit Matang Di Tanah Gambut Tropika Asia Tenggara | INSTITUT KAJIAN PERLADANGAN (IKP)
» ARTIKEL » Kurangkan Bias dalam Pengukuran Pelepasan CO₂ dari Permukaan Tanah: Kajian Ladang Kelapa Sawit Matang di Tanah Gambut Tropika Asia Tenggara

Kurangkan Bias dalam Pengukuran Pelepasan CO₂ dari Permukaan Tanah: Kajian Ladang Kelapa Sawit Matang di Tanah Gambut Tropika Asia Tenggara

Penukaran besar-besaran hutan gambut tropika kepada ladang pertanian, terutamanya  untuk penanaman kelapa sawit, telah dikenalpasti sebagai penyumbang utama kepada pelepasan karbon dioksida (CO₂) ke atmosfera. Walaupun ramai penyelidik bersetuju tentang kepentingan isu ini, punca berkenaan laporan nilai pelepasan karbon dioksida yang berbeza-beza masih menjadi tanda tanya. Antara kemungkinan ialah faktor spesifik lokasi dan juga kaedah pengukuran tradisional menggunakan kebuk manual yang tidak konsisten terutama dari segi masa pengambilan data. Kajian ini bertujuan untuk memahami sama ada waktu pengukuran yang tidak kerap, yang biasanya dilakukan pada waktu siang dan secara manual, boleh menyebabkan anggaran pelepasan CO₂ yang tidak tepat.  Untuk menjawab persoalan ini, data dalam enam bulan daripada kebuk automatik digunakan bagi menghasilkan siri masa separa berterusan. Ini adalah untuk melihat dengan lebih teliti corak fluks CO₂ sepanjang hari (diurnal) dalam ladang kelapa sawit tanah gambut di Borneo Malaysia. Fluks CO₂ direkodkan setiap jam dari lima mikroform berbeza: Pangkal Pokok, Laluan Menuai, Longgokan Pelepah, Parit, dan Antara Barisan. Hasil analisis menunjukkan bahawa pengukuran secara manual yang hanya dibuat pada waktu siang, boleh membawa kepada bias dan pengukuran yang tidak tepat, bergantung pada mikroform yang dikaji. Julat nilai bias adalah paling besar bagi Laluan Menuai (-18-24%), diikuti oleh Pangkal Pokok (-13-11%), Parit (-10-9%) dan Longgokan Pelepah (-5-3%). Apabila langkah pembetulan dilakukan berdasarkan corak diurnal sebenar, anggaran pelepasan tahunan CO₂ bagi ladang sepanjang enam tahun adalah antara 36 hingga 53 megagram CO₂ bagi setiap hektar setahun. Kajian ini menunjukkan agar perancangan yang teliti perlu dibuat terutama dalam faktor masa pengambilan sampel untuk kajian gas rumah hijau. Data diurnal bagi setiap mikroform boleh digunakan perlu dikaji untuk memperbaiki fluks dan mengurangkan bias.

Sorotan kajian :

  • Kebuk fluks manual sering digunakan untuk mengukur pelepasan gas di kawasan tanah gambut tropika yang telah digunapakai.
  • Kekerapan pengukuran secara manual terbatas oleh masa dan tenaga yang diperlukan untuk pelaksanaannya.
  • Corak diurnal (harian) pelepasan karbon dari tanah boleh dipantau di ladang kelapa sawit yang dibangunkan di atas tanah gambut tropika.
  • Pengukuran setiap jam menggunakan kebuk automatik boleh membantu menangani isu bias dalam pemerhatian manual.
  • Kajian kebuk di ladang kelapa sawit tanah gambut perlu mengambil kira kesan masa pengambilan sampel terhadap ketepatan data.

 

Rajah 1:

a) Menunjukkan susun atur lokasi mikroform kebuk automatik berbanding kedudukan pokok kelapa sawit.

b) Menunjukkan susun atur skematik lokasi mikroform kebuk manual berbanding pokok kelapa sawit.

c) memaparkan imej pemasangan kebuk di ladang kelapa sawit Sebungan. Nota: Simbol yang digunakan merujuk kepada: PB – Pangkal Pokok, HP – Laluan Menuai, FP – Longgokan Pelepah, IR – Antara Barisan dan DR – Parit

 

Rajah 2:

Anggaran peratusan bias bagi pengukuran fluks pada waktu tertentu dalam satu hari, sekiranya digunakan sebagai purata fluks harian. Anggaran ditunjukkan bagi setiap mikroform yang berbeza; parit (DR), longgokan pelepah (FP), laluan menuai (HP) dan pangkal pokok (PB). Garisan putus-putus hitam (---) menunjukkan keadaan tanpa bias. Warna garisan panel yang berbeza mewakili mikroform yang berlainan. Nilai positif menunjukkan peratusan fluks yang melebihi anggaran, manakala nilai negatif menunjukkan anggaran fluks yang terlalu rendah.

 

Sumber:

Mohd Hadi Akbar Basri, Jon McCalmont, Lip Khoon Kho, Iain P. Hartley, Yit Arn Teh, Elisa Rumpang, Caroline Signori-Müller, Tim Hill. Reducing bias on soil surface CO2 flux emission measurements: Case study on a mature oil palm (Elaeis guineensis) plantation on tropical peatland in Southeast Asia. Agricultural and Forest Meteorology. Volume 350, 2024,110002 (https://doi.org/10.1016/j.agrformet.2024.110002)

 

 

Tarikh Input: 31/07/2025 | Kemaskini: 26/09/2025 | ainzubaidah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT KAJIAN PERLADANGAN (IKP)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1044
+603-9769 XXXX
W, (05:20:06am-05:25:06am, 11 Oct 2025)   [*LIVETIMESTAMP*]