Tingkah Laku Fisiologi Pokok Getah (Hevea Brasiliensis) Terhadap Keadaan Kelembapan Tanah Yang Berbeza | INSTITUT KAJIAN PERLADANGAN (IKP)
» ARTIKEL » Tingkah Laku Fisiologi Pokok Getah (Hevea brasiliensis) terhadap Keadaan Kelembapan Tanah yang Berbeza

Tingkah Laku Fisiologi Pokok Getah (Hevea brasiliensis) terhadap Keadaan Kelembapan Tanah yang Berbeza

Keadaan kemarau boleh memberi kesan serius terhadap tanaman getah (Hevea brasiliensis), di mana senario ini menyebabkan hasil kerugian ekonomi yang dianggarkan tinggi di Malaysia. Kajian ini bertujuan menilai kesan tahap kelembapan tanah yang berbeza terhadap ciri fisiologi lima klon kayu lateks (latex timber clones, LTCs) pokok getah, dengan matlamat mengenal pasti klon yang paling sesuai untuk keadaan kelembapan tanah tertentu. Keadaan kelembapan yang dikaji termasuk (1) Kapasiti ladang (field capacity, FC), (2) 75% air tersedia (available water, AW), (3) 50% AW, (4)25% AW dan titik layu (wilting point, WP). Objektif utama kajian ini adalah untuk mengoptimumkan kaedah penanaman dan menyokong pengeluaran getah yang lestari di Malaysia. Lima klon yang dikaji termasuk RRIM3001, RRIM2025, RRIM2001, RRIM928, dan PB350. Kandungan klorofil daun, kekonduksian stomata, dan kadar fotosintesis diukur pada 4 dan 8 bulan selepas rawatan (months after treatment, MAT).

Hasil kajian menunjukkan bahawa tekanan kelembapan memberi kesan ketara terhadap pelbagai ciri fisiologi, termasuk kandungan klorofil total, kandungan klorofil relatif, kekonduksian stomata, dan kadar fotosintesis bersih. Pada 4 dan 8 MAT, klon yang terdedah kepada kapasiti ladang mencatatkan nilai tertinggi bagi ciri fisiologi ini, diikuti oleh klon yang terdedah kepada 75% air tersedia, manakala nilai terendah diperhatikan pada titik layu. RRIM3001 secara konsisten menunjukkan kandungan klorofil total, kekonduksian stomata, dan fotosintesis bersih tertinggi dalam kedua-dua tarikh pensampelan.

Kadar fotosintesis bersih dapat diperhatikan adalah tertinggi pada klon RRIM3001 dalam kapasiti ladang. Selain itu, terdapat korelasi positif yang signifikan antara kandungan klorofil total dan relatif, serta antara fotosintesis bersih dan kekonduksian stomata. Hasil kajian ini mempunyai implikasi praktikal terhadap pengurusan air semasa Ketika fasa pertumbuhan awal anak benih getah dan untuk usaha penanaman semula di ladang getah.

 

Rajah : Kesan pelbagai keadaan kelembapan tanah terhadap penampilan daun lima klon kayu lateks (TLCs) bagi H. brasiliensis. Jelas menunjukkan bahawa daun yang sihat dengan warna hijau gelap dapat diperhatikan di bawah kelembapan tanah pada kapasiti ladang (field capacity, FC) dan 75% air tersedia (available water, AW), dan keadaan ini merosot dengan stress melalui peningkatan kelembapan tanah. Di bahagian atas setiap plat, nama bagi setiap klon kayu lateks (ditunjukkan dalam warna hitam) diberikan. FC = Kapasiti ladang, AW = Air tersedia dan WP = Titik layu (wilting point)

 

 

Rujukan:

Rohaizad Mislan, Zulkefly Sulaiman, Siti Nor Akmar Abdullah, Mohd Razi Ismail, Sarker Mohammad Rezaul Karim, Mohd Aswad Abdul Wahab, Aizat Shamin Noran. (2024). Physiological Behavior of Rubber Plants (Hevea Brasilliensis) to Different Soil Moisture Conditions. Pertanika J. Science and Technol. 32 (6): 2807 – 2826.

 

Tarikh Input: 30/05/2025 | Kemaskini: 29/08/2025 | faiz_mokhtar

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT KAJIAN PERLADANGAN (IKP)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1044
+603-9769 XXXX
W, (11:00:07pm-11:05:07pm, 03 Sep 2025)   [*LIVETIMESTAMP*]