SERDANG, 1 Julai – Satu latihan pengungsian bangunan bagi simulasi kejadian tumpahan bahan kimia telah berjaya dilaksanakan di Institut Kajian Perladangan (IKP) dan Bangunan JINM bermula jam 9:00 pagi hingga 9:30 pagi. Latihan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kemahiran penghuni dalam menghadapi insiden kecemasan serta menguji kompetensi Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) di kedua-dua bangunan. |
Latihan ini mensimulasikan situasi seorang pelajar secara tidak sengaja menumpahkan bahan kimia yang menyebabkan kecederaan kelecuran pada tangan. Insiden ini memerlukan tindakan pengungsian segera dan pantas. Pelbagai pihak telah terlibat dalam latihan ini, termasuklah Unit Bantu Mula (UBM), Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) IKP, Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) Bangunan JINM (TNCJINM, CIRNeT, UCTC), serta semua penghuni, pelawat, pelajar, dan pekerja pencucian di IKP dan Bangunan JINM. Semua penghuni di kedua-dua bangunan telah berjaya berkumpul di kawasan perhimpunan (AP) yang telah ditandakan. Proses pengiraan (head count) melibatkan semua staf dan penghuni telah selesai dalam tempoh yang pantas, iaitu kira-kira 3 minit, menunjukkan kecekapan dalam pengurusan insiden. Pasukan trafik ERT turut memainkan peranan dalam melancarkan pergerakan UBM, APSeC dan ambulans ke lokasi kejadian, manakala ERT Pertolongan Cemas bertindak segera memberikan bantuan awal. Mangsa diarahkan oleh ERT Khas untuk membilas tangan menggunakan pancuran kecemasan sebelum dibawa ke pusat pengumpulan mangsa (Casualty Collection Point - CCP) untuk rawatan lanjut. Keberkesanan Latihan Keseluruhannya, latihan ini menunjukkan tahap kesiapsiagaan dan kefahaman tinggi dalam kalangan staf serta ERT terhadap peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam menghadapi insiden kecemasan. Usaha ini dilihat sebagai langkah penting ke arah memperkukuh respons organisasi terhadap insiden tidak dijangka pada masa hadapan. |
Tarikh Input: 31/07/2025 | Kemaskini: 31/07/2025 | ainzubaidah
PEJABAT PENTADBIRAN
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG