![]() |
![]() |
|
PUTRAJAYA, 10 November— Institut Kajian Perladangan (IKP) telah menganjurkan program Pemerkasaan IKP: Refleksi ICPTech2025 dan Pemantapan Organisasi bertempat di Le Méridien, Putrajaya. Program ini bertujuan menilai pelaksanaan ICPTech2025 secara menyeluruh serta memperkukuh keupayaan organisasi IKP ke arah kecemerlangan berterusan. |
![]() |
![]() |
|
Sesi pertama merupakan Refleksi ICPTech2025 iaitu program postmortem kepada konferens yang telah berlangsung pada 20-21 Ogos 2025 lepas dengan jayanya. ICPTech2025 mendapatkan sambutan menggalakkan dengan penglibatan lebih 120 peserta dari pelbagai agensi kerajaan, bukan kerajaan, sektor industri dan akademia. Maklum balas yang diterima daripada pihak industri amat memberangsangkan, menandakan potensi besar IKP dalam menjalin kerjasama strategik. Pengerusi ICPTech2025, Prof. Madya Dr. Ganesan Vadamalai, merakamkan penghargaan kepada seluruh warga IKP atas komitmen dan dedikasi dalam menjayakan konferens tersebut. Beliau turut menekankan kepentingan penambahbaikan berterusan dan perancangan strategik untuk penganjuran ICPTech pada masa akan datang. |
![]() |
![]() |
|
Program diteruskan dengan sesi perkongsian oleh YBrs. Dr. Mohd Faiq Abdul Aziz, Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi & Penjanaan, Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM yang membawakan topik Pembentukan Organisasi Berprestasi Tinggi. Dalam perkongsiannya, beliau menegaskan bahawa komunikasi yang jelas antara staf dan pihak pengurusan adalah kunci utama dalam memastikan hala tuju institut dapat direalisasikan secara kolektif. Menurut beliau, organisasi yang berprestasi tinggi merupakan gabungan mantap antara struktur, individu, budaya kerja dan strategi. Namun begitu, pelbagai cabaran diantaranya arah tuju yang tidak jelas, kepimpinan yang lemah, budaya kerja yang mementingkan individu, ketidakpuasan hati staf dan keengganan menerima kelemahan diri harus ditangani untuk memastikan organisasi dapat berfungsi dengan baik. |
![]() |
![]() |
|
Pengarah IKP, Prof. Ts. Dr. Siti Khairunniza turut menegaskan bahawa kerjasama dan komunikasi antara staf adalah elemen penting dalam menjayakan sesuatu program. “Di IKP, disebabkan bilangan staf tidak ramai, beban kerja perlu dikongsi bersama. Kami percaya setiap staf memiliki bakat dan kelebihan tersendiri yang boleh disalurkan untuk mengangkat IKP ke tahap yang lebih tinggi,” ujar beliau. Program ini telah disertai oleh seramai 26 orang warga IKP, yang menunjukkan komitmen tinggi dalam usaha memperkukuh organisasi dan mempertingkatkan impak penyelidikan institut. |
![]() |
![]() |
|
![]() |
![]() |
|
Tarikh Input: 11/11/2025 | Kemaskini: 11/11/2025 | ainzubaidah

PEJABAT PENTADBIRAN
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG