
Mac 7 – Institut Kajian Perladangan (IKP) telah menganjurkan Taklimat Kesedaran Amalan Biokeselamatan dan Biosekuriti pada 6 Mac 2025 bertempat di Bilik Mesyuarat IKP. Taklimat ini disampaikan oleh Encik Mohd. Azman bin Ahmad dari Jawatankuasa Keinstitusian Biokeselamatan dan Biosekuriti, Pejabat Pengurusan dan Keselamatan Pekerja, UPM dan dihadiri oleh 16 orang staf IKP terdiri dari seksyen pengurusan, seksyen penyelidikan dan seksyen pengurusan makmal. En. Azman telah memberi penerangan lanjut berkaitan kepentingan membuat pemantauan terhadap aktiviti pengendalian mikroorganisma diubahsuai secara genetik melibatkan agen biologi termasuk living modified organism (LMO), genetic modified organism (GMO), rDNA dan toksin biologi serta prosedur-prosedur yang terlibat. Ini bagi memastikan setiap aktiviti berkaitan dengan LMO, GMO, rDNA dan biologi toksin di semua fasiliti termasuk pengajaran, penyelidikan, klinikal, perkhidmatan veterinari, dan makmal alam sekitar mematuhi kepatuhan Akta Biokeselamatan 2007 (Biosafety Act 2007). Bagi penyelidik yang terlibat secara langsung dengan kajian melibatkan bahan biologi adalah dimohon untuk memastikan semua aktiviti melibatkan dijalankan dengan cara yang selamat, termasuk mewujudkan SOPs yang berkaitan (administrative control), penggunaan Biosafety Cabinet (engineering control), pelaksanaan Good Laboratory Work Practise (GLWP) dan penggunaan Peralatan Pelindung Diri (PPE) untuk mengurangkan risiko pendedahan kepada bahan biologi yang mungkin menyebabkan jangkitan dan kemalangan. Penyelidik juga perlu memastikan kesemua individu yang terlibat dengan projek ini kompeten dalam pengendalian haiwan. En. Azman juga menegaskan impak ketidakpatuhan amalan biokeselamatan dan biosekuriti menyebabkan penyelidik terdedah kepada tindang undang-undang selain kesan terhadap alam sekitar dan ancaman kepada kesihatan awam.



Tarikh Input: 19/03/2025 | Kemaskini: 19/03/2025 | ainzubaidah

PEJABAT PENTADBIRAN
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG