
“Untung sepohon, rugi sekampung” amat sesuai menjadi satu perumpamaan dalam bidang pertanian, bahawa tindakan yang menguntungkan individu boleh membawa kesan buruk kepada komuniti. Penggunaan racun kimia secara berlebihan yang mungkin menjanjikan hasil yang tinggi dan penyelesaian yang singkat, boleh memberi memberi impak buruk kepada keseimbangan ekosistem dan kesihatan manusia. Dalam dunia pertanian moden, petani bukan sahaja berperanan besar sebagai pengeluar hasil pertanian, tetapi juga berperanan sebagai penjaga ekosistem dan pengeluar hasil pertanian yang selamat.
Di tengah-tengah tekanan pasaran dan keperluan untuk meningkatkan hasil, ramai petani terperangkap dalam dilema di antara mengejar keuntungan, atau mempertimbangkan tanggungjawab sosial untuk kelestarian jangka panjang. Kenaikan kos racun, serta kebergantungan terhadap input kimia, menambah beban kepada petani kecil yang sering tidak mempunyai akses kepada teknologi atau latihan alternatif.
Lebih membimbangkan, penggunaan racun kimia bukan sahaja menyasarkan patogen (mikroorganisma penyebab penyakit), tetapi turut menjejaskan komuniti mikroorganisma baik yang penting untuk kesuburan dan keseimbangan ekosistem. Tanah yang kehilangan mikroorganisma ini menjadi kurang produktif, memerlukan lebih banyak input luar yang memerlukan modal tambahan, yang akhirnya menjerat petani dalam kitaran kebergantungan yang berterusan.
Namun begitu, tidak wajar untuk menyalahkan petani sepenuhnya yang berusaha memenuhi permintaan pasaran, menjaga hasil dan menyara keluarga dalam keadaan mencabar. Apa yang diperlukan ialah sokongan menyeluruh, dari segi dasar, latihan dan teknologi, agar lebih ramai petani beralih kepada amalan yang lebih lestari tanpa mengorbankan pendapatan.
Racun bukan musuh, tetapi alat yang harus dikawal guna ke arah pendekatan yang seimbang. Petani moden perlu dilengkapi dengan ilmu dan pilhan, bukan hanya diberi beban dan tekanan.
Masa depan pertanian bukan sekadar tentang hasil tanaman yang banyak, tetapi hasil yang selamat, tanah yang kekal subur dan komuniti yang sihat. Pertanian yang bijak bukan hanya menguntungkan hari ini, tetapi menyuburkan tanah untuk generasi akan datang.
Dr. Erneeza Mohd Hata
Institute of Plantation Studies
Universiti Putra Malaysia
Sources: Berita Harian, 25 October 2025 (Saturday), page 13
Date of Input: 30/10/2025 | Updated: 30/10/2025 | ainzubaidah

ADMINISTRATION OFFICE
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG