ICPTech2025 Kukuhkan Kerjasama Akademia–Industri Ke Arah Perladangan Lestari | INSTITUT KAJIAN PERLADANGAN (IKP)
» BERITA » ICPTech2025 Kukuhkan Kerjasama Akademia–Industri ke Arah Perladangan Lestari

ICPTech2025 Kukuhkan Kerjasama Akademia–Industri ke Arah Perladangan Lestari

MELAKA, 21 Ogos –  International Conference on Plantation Technology 2025 (ICPTech2025) telah melabuhkan tirainya dengan penganjuran yang gemilang pada 20–21 Ogos 2025 bertempat di Dusit Princess Melaka. Dianjurkan oleh Institut Kajian Perladangan (IKP), Universiti Putra Malaysia (UPM), persidangan ini menghimpunkan lebih daripada 130 peserta dari pelbagai latar belakang kepakaran dan pengalaman dalam industri perladangan, di peringkat nasional dan juga antarabangsa. Dengan tema “Resilience in Industrial Crop Production through Climate-Friendly Production Systems”, persidangan ini berjaya menghimpunkan para akademik, penyelidik, pemain industri dan pemegang taruh dalam industri perladangan meliputi tanaman sawit, getah, koko, kenaf, nanas, durian dan kelapa.

Persidangan ini mendapat sokongan penyertaan daripada lebih 30 organisasi yang terdiri daripada agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) dari dalam dan luar negara. Antara agensi kerajaan yang terlibat adalah Lembaga Koko Malaysia, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara, Lembaga Getah Malaysia, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, MARDI, MPOB, dan National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM). Daripada pihak industri pula antaranya adalah FGV Holdings Bhd., Tradewinds Plantation Bhd., SD-Guthrie Sdn. Bhd., BOH Plantations, Sarawak Rubber Industry Board (SARIB), dan banyak lagi.

Persidangan ICPTech2025 dirasmikan oleh YBhg. Profesor Dr. Ahmad Zaharin Aris, Pengerusi Jemaah Institut, UPM yang mewakili YBhg. Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Naib Canselor UPM. Majlis Perasmian ICPTech2025 juga menyaksikan Sesi Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara UPM dan International Rubber Research and Development Board (IRRDB) yang diwakili oleh YBhg. Dato’ Seri Dr. Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir dan juga di antara UPM dan Ova Chem Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Puan Norazni Azlan.

Persidangan ini meliputi program pembentangan saintifik daripada penceramah jemputan (3 Keynote Speaker, dan 9 Lead Speaker) beserta 21 pembentangan saintifik daripada pelbagai bidang merangkumi subtema i) Agronomi dan Perlindungan Tanaman Lestari, ii) Mekanisasi, Automasi & Pendigitalan, iii) Produk Penukaran Berasaskan Bio, Biojisim & Biokimia, dan iv) Dasar Perladangan, Alam Sekitar & Bioekonomi. Tidak kurang menarik adalah sesi forum yang bertajuk “Achieving the Ideal Balance between Growth and Sustainability in the Plantation Industry” dengan dibarisi panel yang terdiri daripada Prof. Ts. Dr. Siti Khairunniza Bejo (Moderator), YBhg. Dato’ Seri Dr. Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir (IRRDB), YBhg. Datuk Dr. Ramle Hj. Kasin (Lembaga Koko Malaysia), dan Dr. Cheryl Ong (RSPO).

Pengerusi ICPTech2025, Prof. Madya Dr. Ganesan Vadamalai berkata sinergi yang telah dibangunkan ketika persidangan ICPTech2025 harus diteruskan dalam menyatukan sains, teknologi dasar dan industri, demi membina sistem perladangan yang berdaya tahan, pintar iklim, dan inklusif dari segi ekonomi bagi rantau Asia dan dunia.

“Penganjuran ICPTech2025 diharap dapat menjadi satu platform bagi mencetuskan idea baharu dan membentuk sinergi kerjasama yang berkekalan, seterusnya memberi manfaat kepada industri perladangan dan pertanian negara” katanya.

 Tirai ICPTech2025 dilabuhkan dengan azam pelaksanaan ICPTech yang bakal diadakan pada tahun 2027 dengan tema ““Future-Ready Plantation Crop: Leveraging Digitalization, Sustainability, and Circular Pathways”.

Tarikh Input: 29/08/2025 | Kemaskini: 29/08/2025 | ainzubaidah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT KAJIAN PERLADANGAN (IKP)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1044
+603-9769 XXXX
W, (12:14:01am-12:19:01am, 04 Sep 2025)   [*LIVETIMESTAMP*]