Institut Kajian Perladangan Kukuhkan Pemindahan Ilmu Melalui Aktiviti STEM Di Cameron Highlands | INSTITUT KAJIAN PERLADANGAN (IKP)
» BERITA » Institut Kajian Perladangan Kukuhkan Pemindahan Ilmu Melalui Aktiviti STEM di Cameron Highlands

Institut Kajian Perladangan Kukuhkan Pemindahan Ilmu Melalui Aktiviti STEM di Cameron Highlands

 

CAMERON HIGHLAND, 12 November – Institut Kajian Perladangan (IKP) terus memperkukuh peranannya dalam pemindahan ilmu kepada komuniti apabila menganjurkan program aktiviti STEM di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Boh 2 bersempena lawatan kerja ke Cameron Highlands dari 12 hingga 14 November 2025.

Program ini mendapat sokongan padu daripada Jabatan Pendidikan Negeri Pahang serta pihak pengurusan SJKT Ladang Boh 2. Terletak sejauh 10 kilometer dari pekan Habu, Ringlet, sekolah ini berada dalam kawasan ladang BOH Plantations Sdn Bhd dan telah menerima pelbagai bantuan pembangunan pelajar daripada pihak syarikat.

  
 

Pengurus Besar BOH Plantations Sdn Bhd, Mr. Seow Chee Chiang turut hadir memeriahkan program dan menyatakan komitmen syarikat dalam menyokong pendidikan komuniti setempat dengan menaja makan dan minum pelajar sepanjang program berlangsung.

Seramai 32 orang pelajar dari Tahun 1 hingga Tahun 6 menyertai aktiviti STEM yang menggabungkan pembelajaran teori, inovasi dan kreativiti. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah pengenalan warna dan kreativiti imaginasi bagi pelajar tahap satu, manakala pelajar tahap dua didedahkan dengan aktiviti menghasilkan roket berasaskan prinsip sains.

Guru Besar SJKT Ladang Boh 2, Pn. Thevagi Sabathavan meluahkan rasa terharu atas kehadiran IKP ke sekolah mereka. “Ini merupakan julung kali lawatan dari pusat pengajian tinggi ke sekolah kami yang terletak agak jauh ke dalam. Saya berbesar hati jika pihak IKP sudi bekerjasama dengan pihak sekolah pada masa akan datang untuk program jaringan dalam bidang pertanian dan pendidikan,” ujar beliau dalam ucapan aluan.

  
 
  
 
 

Pengarah IKP, Prof. Ts. Dr. Siti Khairunniza Bejo turut menekankan bahawa program ini mendapat sokongan penuh daripada pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM), BOH Plantations Sdn Bhd dan pihak sekolah. “Program ini bukan sekadar aktiviti pendidikan, tetapi lambang kesepaduan antara pendidikan, penyelidikan dan khidmat masyarakat dalam membina ekosistem pembelajaran yang mampan untuk masa depan,” katanya.

Program ini diharap dapat menjadi pencetus inspirasi kepada pelajar untuk meneroka potensi mereka dalam bidang STEM serta meningkatkan keyakinan diri dalam pembelajaran.

  
 
  
 
  
 
     
 
 
    
 

 

 

 

Tarikh Input: 19/11/2025 | Kemaskini: 19/11/2025 | ainzubaidah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT KAJIAN PERLADANGAN (IKP)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1044
+603-9769 XXXX
W, (10:14:45am-10:19:45am, 27 Nov 2025)   [*LIVETIMESTAMP*]