![]() |
||
|
SERDANG, 7 Julai 2026 – Institut Kajian Perladangan (IKP) berbesar hati menerima kunjungan rasmi delegasi dari Chinese Academy of Tropical Agricultural Sciences Rubber Research Institute (CATASRRI). Lawatan ini menjadi platform penting untuk mengukuhkan hubungan dua hala, bertukar pengetahuan serta meneroka potensi kerjasama dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pembangunan pertanian mampan. Delegasi CATASRRI diketuai oleh Prof. Wang Lifeng, Ketua Bahagian Penuaian Lateks CATASRRI, bersama beberapa pegawai dan penyelidik. Ketibaan mereka disambut mesra oleh pihak pengurusan dan warga kerja IKP yang turut berkongsi maklumat mengenai inisiatif, pencapaian serta hala tuju strategik institut. Sepanjang lawatan tersebut, kedua-dua pihak mengadakan perbincangan yang konstruktif berkaitan bidang kepentingan bersama, termasuk penyelidikan pertanian, pembangunan teknologi, pembangunan kapasiti dan peluang kerjasama pada masa hadapan. Pertukaran kepakaran dan pengalaman antara IKP dan CATASRRI mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasa inovasi serta menyokong pertumbuhan mampan sektor pertanian. Dalam sesi perbincangan itu, para penyelidik CATASRRI turut menunjukkan minat untuk memahami landskap makro industri getah Malaysia, termasuk realiti sosioekonomi dan agroekonomi yang dihadapi oleh industri tersebut. Mereka juga mendapatkan maklumat mengenai pelbagai intervensi kerajaan yang dilaksanakan bagi meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan pekebun kecil getah di negara ini. IKP merakamkan penghargaan kepada delegasi CATASRRI atas kesudian mengadakan lawatan rasmi tersebut dan berharap hubungan kerjasama yang terjalin akan terus diperkukuh pada masa hadapan. Kunjungan ini mencerminkan komitmen berterusan IKP dalam membina jaringan strategik dengan institusi antarabangsa demi memacu kecemerlangan dalam penyelidikan, inovasi dan pembangunan industri. |
||
![]() |
![]() |
|
Tarikh Input: 17/07/2026 | Kemaskini: 17/07/2026 | ainzubaidah

PEJABAT PENTADBIRAN
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG