International Conference On Big Data Applications In Agriculture : | INSTITUT KAJIAN PERLADANGAN (IKP)
» BERITA » International Conference On Big Data Applications In Agriculture :

International Conference On Big Data Applications In Agriculture :

SERDANG – Dua universiti ternama dunia dalam bidang pertanian iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Wageningen University, Belanda bekerjasama dalam menganjurkan Persidangan Antarabangsa Aplikasi Data Raya (Big Data) dalam Pertanian (ICBAA2017). Pengajurannya diterajui oleh Institut Kajian Perladangan (IKP), UPM dan telah diadakan di Auditorium Putra, Bangunan TNCPI pada 5 – 6 Disember 2017.

 Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia telah merasmikan persidangan tersebut dan melancarkan buku oleh Penerbit Antarabangsa Springer yang disunting oleh dua (2) orang professor dari IKP bertajuk Penambahbaikan Tanaman: Kemapanan melalui Teknologi Terkini semasa Upacara Perasmian ICBAA2017. Penemuan penting dan utama dari ICBAA 2017 akan dibukukan juga dengan sokongan Springer untuk rujukan pada masa hadapan. Dengan tema ‘dari tapak semaian ke ladang”, persidangan tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada penyelidik, pemain industri dan pelajar, melalui pencirian pengurusan tanaman berasaskan maklumat yang menawarkan penyelesaianan kepada pelbagai masalah hakiki pengeluaran tanaman. ICBAA2017 telah memberi landasan untuk perkongsian hasil penyelidikan, memperolehi maklumat terkini dan pertukaran buah fikiran dalam aplikasi data raya dalam pertanian di peringkat antarabangsa.

Persidangan tersebut telah membincangkan pengumpulan, pengurusan dan teknik analitikal data menggunakan pelbagai perisian juga kaedah permodelan dan bioinformatik. Perbincangan telah mengfokus kepada aplikasi data raya dalam penambahbaikan dan pengurusan tanaman persis. Dalam bidang pertanian, data raya memberi petani dan pengurus ladang maklumat yang jelas dan keupayaan yang tinggi untuk membuat keputusan yang tidak pernah terfikirkan sebelum ini. Persidangan ini ternyata tepat pada masanya kerana perubahan ikilim dunia telah mengakibatkan ketidaktentuan alam persekitaran yang berkemungkinan juga meningkatkan kerosakan tanaman akibat serangan perosak dan penyakit.

Data raya dalam bentuk data ‘omics, data penyeliaan ladang dan data penderiaan jauh meningkatkan ketepatan dalam penghasilan kultivar, pengurusan input, pengesanan tekanan dan penentuan prestasi tanaman di ladang. Data raya adalah penting dalam revolusi industri 4.0 dimana sektor pertanian bakal ditransformasikan melalui aplikasi teknologi digital. Pengerusi Persidangan Prof. Datin Dr. Siti Nor Akmar Abdullah menyatakan selain penyertaan dari universiti dan institusi penyelidikan, ramai dikalangan peserta adalah dari industri perladangan berkaitan kelapa sawit dan getah. Ini menggambarkan keakraban yang sedia terjalin di antara IKP dan industri perladangan negara, selain menunjukkan minat mendalam mereka dalam aplikasi data raya untuk memajukan penyelidikan dan pengurusan ladang. Peserta persidangan berpeluang mendengar pembentangan dari pakar dari universiti ternama dunia dan penyelidik industri di persidangan tersebut.

Ucaptama adalah oleh Dr. Sharifah Shahrul Rabiah Syed Alwee (FELDA Global Ventures  R&D Sdn Bhd) dan Prof. Madya Dr. Wataru Takeuchi (University of Tokyo, Japan). Di antara penceramah plenari termasuklah Dr. JH (Jack) Vossen (Wageningen University, the Netherlands) En. Mohd Zahlan Mohd Zaki (Sime Darby R&D Sdn Bhd), En. Jin Ngee (Integrated DNA Technologies Pte Ltd, Singapore), Prof. Madya Dr. Qazi Fariduddin (Aligarh Muslim University, India) dan  Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Mohamed Shariff (Universiti Putra Malaysia). Kehadiran ramai peserta dari industri perladangan tersebut memberi peluang keemasan kepada penyelidik universiti untuk membincang peluang kerjasama penyelidikan industri-akademia.

Dalam ucapan perasmiannya, Yang Berhormat Menteri menyatakan penting untuk saintis terutamanya dari generasi muda untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam teknologi digital dan mengikuti perkembangannya yang pesat. Ini bakal menjadikan mereka aset yang sangat bernilai kepada negara untuk maju kehadapan dalam era digital yang kompetitif sekarang ini. Yang Berhormat Menteri menyatakan juga bahawa data raya telah mengubah cara penyelidikan dijalankan oleh kerana data yang besar memberi pespektif yang lebih meluas dalam melihat sesuatu produk dan proses.

Ini telah menghasilkan bidang penyelidikan seperti bioinformatik, biologi sistem, pertanian persis, robotik dan sistem pintar buatan yang perlu diterokai para saintis masa kini.

 

     

 

      

 

     

 

      

 

      

 

      

 

      

 

       

 

      

 

      

 

      

 

 

Tarikh Input: 06/02/2018 | Kemaskini: 06/02/2018 | ainzubaidah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT KAJIAN PERLADANGAN (IKP)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1044
+603-9769 4166
SXEUWA2~