PUTRAJAYA, 22 Mei 2025 – Pengurusan Institut Kajian Perladangan (IKP) yang diketuai oleh Prof Ts Dr Siti Khairunniza Bejo (Pengarah), bersama dengan Prof Dr Wong Mui Yun (Timbalan Pengarah), Prof. Madya Dr Ganesan Vadamalai (Ketua Laboratori SACP), dan Prof. Madya Dr Mohd Rafein Zakaria (Ketua Laboratori PPD), telah mengadakan lawatan ke Bahagian Pembangunan Industri Getah (GET) di Kementerian Perladangan dan Komoditi bagi membincangkan usaha kerjasama dalam memajukan industri getah Malaysia.
Delegasi IKP telah disambut oleh Encik Peter Dennis, Setiausaha Bahagian (SUB), Bahagian Pembangunan Industri Getah (GET), mewakili kementerian dalam sesi perbincangan tersebut. Dalam pertemuan ini, IKP membentangkan projek penyelidikan berkaitan getah serta mengemukakan cadangan penyelesaian inovatif bagi menangani cabaran utama industri.
Sesi ini turut merangkumi pertukaran idea yang konstruktif mengenai peluang dan cabaran dalam sektor getah Malaysia. Hubungan yang terjalin ini merupakan titik mula bagi komitmen bersama antara UPM dan GET dalam meneroka penyelesaian strategik bagi menyokong pembangunan industri getah negara.
Melalui kerjasama yang semakin kukuh ini, kedua-dua pihak berhasrat untuk memperkasakan inovasi berasaskan penyelidikan dan penambahbaikan dasar yang menyokong pertumbuhan mampan industri getah. Jalinan kerjasama antara UPM dan GET dijangka akan membuka ruang kepada inisiatif yang lebih berimpak serta memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan dalam sektor ini.
Tarikh Input: 23/05/2025 | Kemaskini: 23/05/2025 | faiz_mokhtar
PEJABAT PENTADBIRAN
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG