SERDANG, 14 April – Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), YBhg. Dato' Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah telah menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Agong Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Getah Antarabangsa (IRRDB), Datuk Dr. Abdul Aziz S.A. Kadir di Bangunan Canselori Putra, UPM. Delegasi IRRDB turut disertai oleh En. Tajuddin Ismail (Felo IRRDB) dan En. Irwan Hakim Dzulkifli (Pegawai Pentadbiran IRRDB) yang telah turut disambut oleh wakil Institut Kajian Perladangan (IKP) UPM, Prof. Ts. Dr. Siti Khairunniza Bejo (Pengarah IKP) dan Prof. Dr. Wong Mui Yun (Timbalan Pengarah IKP). |
Kunjungan ini bertujuan bagi membincangkan dengan lebih lanjut berkenaan Memorandum Persefahaman (MoU) yang bakal ditandatangani oleh pihak IRRDB dan UPM. IRRDB merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 1960 dengan objektif untuk menggalakkan kerjasama antarabangsa dalam penyelidikan dan pembangunan getah asli dengan keahlian terkini sebanyak 20 buah negara yang merupakan negara pengeluar getah asli. Visi IRRDB dilihat selari dengan bidang tujahan dan fokus IKP, UPM terhadap masa depan industri perladangan negara yang lebih gemilang. Kolaborasi di antara UPM dan IRRDB dilihat dapat membuka potensi ke arah kerjasama penyelidikan, program sangkutan penyelidikan staf, penganjuran persidangan, dan program sangkutan / latihan amali bagi pelajar siswazah. |
Manfaat yang diterima sekiranya kerjasama antara UPM dan IRRDB dapat direalisasikan adalah sangat signifikan. Peluang pembelajaran di UPM adalah terbuka kepada negara anggota IRRDB dan peluang penyelidikan getah yang lebih intensif dapat dilaksanakan berdasarkan keutamaan dan isu penting dalam industri getah. |
Tarikh Input: 22/04/2025 | Kemaskini: 22/04/2025 | ainzubaidah
PEJABAT PENTADBIRAN
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG