SERDANG, 2nd October - Institut Kajian Perladangan (IKP) telah menerima kunjungan daripada UPM Consultancy & Services Sdn. Bhd. (UPMCS) bagi sesi perkongsian maklumat berkenaan perkhidmatan dan peluang kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan dan pembangunan. Sesi yang berlangsung di bilik mesyuarat IKP ini telah disampaikan oleh Pn. Norfazila binti Said, Penolong Pengurus Besar UPMCS. |
|
Dalam sesi tersebut, Pn. Norfazila memperkenalkan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan oleh UPMCS, termasuk pengurusan projek perundingan, perkhidmatan makmal, program klinikal dan latihan, fasiliti penjagaan kesihatan, serta pensijilan. Beliau turut menerangkan prosedur pelaksanaan projek di bawah Putra Consultancy, yang menekankan pemisahan peranan antara UPMCS dan penyelidik: UPMCS bertanggungjawab terhadap aspek pengurusan dan kewangan, manakala penyelidik memberi tumpuan kepada komponen teknikal projek. UPMCS sehingga kini banyak membantu menguruskan penyelidikan dalam bidang Sains Perubatan dan Bioteknologi, Kejuruteraan Sains & Teknologi serta Pengurusan Perniagaan dan Sains Sosial. |
|
Menariknya, Pn. Norfazila turut berkongsi aspirasi UPMCS untuk bergerak ke arah menjadi sebuah Contract Research Organization (CRO), dengan fokus kepada projek-projek kajian klinikal yang melibatkan pematuhan etika dan piawaian antarabangsa. Sesi ini membuka ruang kepada IKP untuk meneroka bentuk kerjasama yang lebih tersusun dan berimpak tinggi, selari dengan aspirasi universiti untuk memperkukuh jaringan antara akademia dan industri. |
|
Tarikh Input: 16/10/2025 | Kemaskini: 16/10/2025 | ainzubaidah
PEJABAT PENTADBIRAN
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG